Thursday, March 26, 2009

Terkenangkan Mak Didik..

Salam,

Bila tinjau kebun kakPah dalam blognya..lepas tu pulak tinjau blog Nizam yang melayor layorkan lauk pauk kampungnya..aku terkenang arwah nenek sebelah ibuku yang kupanggil 'Mak Didik'.

Mak Didik ada sepuluh orang anak. Ibuku anak kedua. Ketika aku berumur lebih kurang lima tahun, mak didik berumur lebih kurang 45 tahun. Sewaktu itulah datukku, meninggal.

Waktu tu, mak didik ada 8 orang anak yang masih belum bekerja ataupun berkahwin. Yang telah berkahwin hanyalah ibuku dan bapa saudaraku yang paling sulong. Ibuku pada mulanya adalah suri rumahtangga tetapi kemudiannya giat berniaga TUPPERWARE. Bapa saudaraku dulu bekerja sebagai attendant hospital dan kemudiannya sebagai pemandu ambulan.

Mak didik tiada pendapatan tetap. Harta yang mak didik ada, hanyalah kebun getah berhampiran rumah dan tanah kebun yang tak seberapa besar luasnya.
Rumah mak didik pula di kampung Pasir Kubu, Teluk Sena berdekatan dengan Sungai Perak.

Selalunya sewaktu aku balik ke kampung, keluargaku mesti membawa bekalan makanan mentah atau yang telah dimasak untuk dimakan bersama di kampung. Di kampung sewaktu itu sukar untuk mendapat bekalan ikan laut dan sayur mayur seperti kobis, sawi, lobak dan sebagainya...begitu juga sukar mendapat bekalan runcit seperti bawang, garam , gula, kicap dan seumpamanya.

Jangan bermimpi la nak makan mee goreng atau kue tiaw goreng, ais kacang atau ais cendol yang hanya boleh dibeli di pekan PARIT..
Hah!..sewaktu dulu, nak ke Pekan PARIT bukannya mudah..Kami terpaksa berjalan kaki dari rumah ke pekan teluk Sena lebih kurang dua batu jauhnya dan kemudian perlu pula menaiki bas yang entah 3 atau 4 jam sekali baru tiba dari pekan Parit.
Jalannya pula masih jalan batu kelikir dan tidak berturap TAR lagi. Cukup menyiksakan...
Untuk lebih mudah, kadang kadang lebih senang menaiki perahu tambang untuk ke seberang ke pekan Bota melintasi air sungai Perak yang cukup dalam.....tetapi bagi aku, waktu tu cukup best! ( manalah aku tahu risiko air laju dan risiko perahu tenggelam dan risiko meredah air sungai Perak yang BERBUAYA sewaktu itu)

Kalau di rumah Mak Didik, makanan untuk sarapan pagi ialah pisang rebus...Pisang kampung yang boleh didapati di keliling rumah. Kemudian makanan tengaharinya pula, sebagai sayuran, kami ( aku, maksu dan pakcik aku yang hanya sebaya dengan kakakku) selalu disuruh memetik pucuk PAKU yang MELAMBAK di sekeliling rumah. Pucuk paku ini dipadankan dengan kulat pokok getah..( orang panggel KULAT apa tah..yang kecil kecil tuuu..rasa macam daging jer). Selalunya dimasak LEMAK!! Kelapa dan santan mestilah yang dikukur dan diperah sendiri!..Aduh keenakannya sungguh menyelerakan. Nasi yang ditanak di atas dapur KAYU memang lain rasanya. Ditambah pula dengan ikan sungai yang digoreng garing. Kadang kadang kalau dapat ikan besar bila ayahku menjala di sungai Perak, mak didik akan buat PEKASAM yang betul betul KICK rasanya! Menu tengahari kurang lengkap kalau tak ada petai bakar dan sambal NYIOR...ha ha ha..( entah kenapa aku rasa tersangat lapar pulak!!)

Sewaktu petang, mak didik suka merebus ubi. Kami cicah ubi rebus panas panas dengan kelapa bercampur gula dan garam. Keenakan makanan kampung sebegini hanya dihargai oleh mereka yang melalui zaman ini.

Di sebuah restoren di Bangi ada menyediakan makanan kampung seperti ubi kayu cicah kelapa dan pulut ikan kering..tetapi..hmmm..anak anakku TAK RETI NAK MAKAN!

Mungkin pulut di restoren itu tidak dimasak bersama KASIH SAYANG atau ubi direbus tidak bersama kasih mesra..
ye lah..kasih dan sayang juga mesra dari seorang NENEK...

sekian..

4 comments:

Nizam.Ariff said...

No.1.

Makan ubi banyak-banyak, kentut pun bertalu-talu. Ubi cicah kulat yang kat batang getah tu...sedap woo... kulat tu kalau silap basuh rasa macam makan kumbang... hahaha

GPI SKSV said...

Salam, tumpang mencelah..nak quote ayat yg terakhir tu... dan kita gunakan dalam konteks masakini... dan kita tujukan pada anak2 kita... amacam?

ashley said...

Nizam,
rasa macam makan kumbang?
he he he..
daging kumbang?

SKSV..
ha ha ha..
begitulah seadanya..

kakpah said...

kitorang panggil kulat yang tumbuh kat pokok getah tu cendawan kukur. Sedap wo masak lemak.