Showing posts with label kenangan sekolah. Show all posts
Showing posts with label kenangan sekolah. Show all posts

Monday, December 10, 2012

Cermin

Assalamualaikum,

" Hei, hangpa ingat hangpa lawa sangat ka? Pi tengok muka hangpa dalam cermin!" seorang anak muda bernama S menengking seorang anak gadis bernama H pada suatu pagi.

" Hmm...aku tak kata aku lawa. Tapi tiap tiap hari memang aku tengok muka aku dalam cermin. Aku sikat rambut. Aku boh bedak. Memang selalu pun aku tengok muka aku kat cermin " anak gadis itu menjawab tanpa teragak agak.

Anak muda bernama S berdengus sambil memandang tajam pada anak gadis bernama H
Terasa seperti mahu ditampar sahaja pipi anak gadis itu.
Tapi dia terus berlalu.
Kesabarannya sememangnya diuji.
Dia mengomel dan merengus seorang diri.

H tersenyum sinis. Terasa mendapat satu kemenenangan apabila S berlalu pergi . Namun sebenarnya tetap terasa gerun di hatinya. Takut takut juga kalau kalau kesabaran S melepasi sempadan dan sebiji penumbuk atau penampar singgah ke mukanya.

Enam tahun berlalu....dan peristiwa S menengking H di tepi padang sekolah mereka itu sentiasa bermain di kotak memori H dan perkataan 'cermin' sentiasa datang terngiang ngiang di telinganya.

.....dan setelah enam tahun kemudian, akhirnya H mendirikan rumahtangga juga dengan S.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
cuma bukan dengan S yang sama.
.
.
.
.
.
.
.

Tapi tetap dengan si dia yang bermula nama dengan huruf S!
hahahahahaha...

 Ini ialah PANTAI CHERMIN
TERLETAK DI SEMPADAN NOGOGHI DAN MELAKA.


p/s
dan di sini my hubby, S, menemaniku berfotografi!

sekian

Thursday, April 21, 2011

Teman sebilikku sewaktu dulu..

Assalam,

Aku bertolak dari Bangi kira kira jam 3.20 petang.

Suspense juga sebab aku tak telefon atau sms Su pun kali ni.

Nombornya tiada dalam simpananku akibat virus yang melanda handphone.

Selalunya aku telefon atau sms Su dua tiga hari sebelum pergi ke rumahnya.

Berdebar bila pergi..tanpa inform tuan rumah lebih awal.

.

.

selalunya kalau sms atau phone Su, anaknya yang akan balas jawapan sebab Su memang dah tak mampu memegang handphone apatah lagi nak membalas sms.

Aku telah dapat berjumpa dengan Su semenjak 2009 lagi.

Masuk kali ini sudah 6 kali aku pergi ke rumahnya.

Sedikit demi sedikit Su hilang keupayaan diri.

Sesiapa yang biasa membaca entry aku yang terdahulu mungkin telah sedia maklum yang Su telah lama menghidap sakit saraf dan otot ini.

Semakin hari Su semakin hilang daya upaya. Otot ototnya mengecut dan dia hilang keupayaan bermula dari tidak berupaya mengangkat tangan ketika solat. Pada asalnya dia merasa cepat letih kemudian setelah dilihat otot di tangannya mengecut baru Su realized there was something wrong with her body.

Semasa aku menziarahi Su dalam tahun 2009 dahulu, Su masih berupaya bangun dan berjalan tetapi perlu berpaut pada kerusi secara perlahan lahan. Dia masih boleh berjalan perlahan lahan hingga ke pintu menghantar dan melambaiku sewaktu aku pulang. Dia juga masih boleh menyuap makanan ke mulutnya. Cuma Su terpaksa berhati hati kerana mudah terjatuh.

Kemudian pada tahun lalu, Su sudah tidah berupaya untuk bangun lagi tetapi jari jemarinya masih berfungsi dan dia masih berupaya menyuap makanan ke mulut. Kalau didudukkan, dia mesti bersandar untuk tidak jatuh ke tepi atau ke depan. Dan Su masih boleh berbual dan ceria.

Petang semalam aku berkunjung lagi ke rumahnya..

.

.

Untuk makluman, Su sudah tidak berupaya untuk menggerakan semua anggota badannya...kaki tangan...tidak lagi berfungsi. Dia hanya boleh menggerakkan otot di bahagian kepala sahaja. Otot mulut masih boleh bergerak, mata juga tetapi pertuturannya sudah tidak berapa jelas. I have to be very close to her to understand her words. Suaranya juga agak perlahan. Dia hanya senyum dan menyuruh aku bercakap untuk dia mendengar..Dia cepat letih kalau bercakap kerana ototnya dibahagian paru paru juga sudah mula hilang upaya. Oleh sebab itu dia memerlukan oksigen bagi memudahkan pernafasan.

Kawan kawan...perut kita pun mempunyai otot. Kalau ia makin tak berfungsi maka hendak buang air besar pun agak sukar. Memerlukan ubat untuk mengeluarkan najis.

Su hanya makan bubur nasi dan jenis jenis nestum yang mudah dihadam. Perutnya sudah ditebuk untuk persediaan kiranya otot mulutnya tidak berupaya mengunyah makanan nanti. Sekarang pun makanan agak sukar ditelan.

.

.

Siapa yang menjaga Su?

Su mempunyai 8 orang anak.

Anak sulungnya di Kuantan.

Anak keduanya baru selesai Matrik di banting dan Alhamdulillah dapat berjumpa dengannya.

Anak ke3 di dalam tingkatan 5. Anak perempuan dan ada di rumah juga.

Anak ke 4, dalam tingkatan 2..bersekolah.

Anak ke 5, tingkatan 1, lelaki, yang menguruskan penukaran pampers mamanya sewaktu aku tiba.

Anak ke 6 dalam darjah 6.

Anak ke 7 dan ke 8 bersekolah jadi tidak dapat berjumpa tetapi aku pernah berjumpa dengan mereka sebelum ini.

Pada waktu pagi, anak yang bersekolah petang ( form 2) yang akan menguruskan mama mereka.

Pada waktu petang pula, anak yang bersekolah pagi mengambil giliran.

Hal hal anak anak pula, mereka terpaksa pandai pandai sendiri.

Makan pakai anak anak??

Mereka urus sendiri.

masuk kain baju dalam mesin, sidai, sterika...pandai pandai mereka lah..

lain lain???...hanya Allah sahaja yang tahu...

Setakat ni Ibu Su masih berupaya memasak untuk cucu cucunya dan Su. Dia berumur 70 tahun. Tapi dia sendiri tidak mampu menguruskan segala galanya.

Suami Su?

Perlu bekerja dan menanggung keperluan Su dan anak anak. Membelikan makanan, pakaian dan urusan keperluan asas bagi Su dan anak anak.



.

.

.

Apa yang boleh kita bantu?

Berat mata ku memandang, berat lagi bahu yang memikul...

Sekian

Monday, February 14, 2011

Ada kawan cari gua..

Salam,

Ada kawan cari gua.
Dia yang post gambar ni dalam fb dia.
Gua nampak gambar ni dalam sorang kawan lain punya fb.
Dia kena TAG.
Gua rasa macam nak guling guling gelak.
Gua tak da gambar ni.
Dulu dulu gambar macam ni kena beli dari cikgu.
Satu - lima posen.
Ada masa gua malas nak beli gambar.
Sayang duit!
Semua yang dalam gambar ni satu kelas.
Gua cukup kenal.
Kira GENG GUA la nih!
Cikgu tu pun gua kenal.
Cikgu English yang tak reti cakap Melayu tu.
Gua rasa gua ada cerita.
.
.
.
.
.
.
.
SEKSI tak gua punya cikgu?
hahahahaha
.
.
.
Cikgu gua lawa.
Waktu English, gua memang semangat berkobar kobar nak belajar!
.
.
.
Thank you Mrs Tan.


Gua masih rasa nak tersengih sengih...
HAIYA!!!!

sekian

Thursday, December 09, 2010

Dunia semakin mengecil..

Salam,

Semalam sekira kira jam 4 petang, aku pergi menjemput seorang kawan lama yang akan berkursus di NIOSH hari ini dan esok. Dia tiba dari Taiping bersama sama dengan empat lagi rakan setugasnya. Kawan aku ini merupakan rakan sebaya sekolah menengahku.

Selama 25 tahun lebih kami terpisah, akhirnya kami dapat berhubung di ruangan FB dan telah berjumpa buat pertama kali pada musim cuti sekolah bulan June yang lalu. Walaupun dia tinggal di Taiping, bandar kelahiranku, namun telah terputus hubungan sama sekali dan aku tidak pernah tahu di mana dia berada.

Di dalam kelas aku dulu pelajar perempuan hanya ada 11 orang dari 30 orang pelajar. Selebihnya adalah pelajar lelaki. Ratio pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki di kelas kami sewaktu itu ialah 1P : 2L. Intan, aku, Makmie, Ciklia, Leeza, Anim, Kak Yah, Merheda, Na Bakri, Min, Izal adalah nama kawan kawan sekelas denganku. Alhamdulilla, kesemuanya telah dapat dihubungi.

Intan kini mempunyai dua orang cahayamata bekerja di lab yang berkaitan dengan gigi.
( hahahaha..kami selalu cakap..sekarang kawan kawan tak perlu risau..siapo tak dak gigi boleh contact Intan..DIA BOLEH TOLONG BUAT GIGI PELESU!! hehehehe)

Makmie walaupun BERSABOK dikelilingi dengan 6 putera dan 1 puteri dan sentiasa mengadu hal hal ANAK ANAKNYA YANG HEBAT HEBAT TARAF KELASAKAN MEREKA namun satu hari nanti mana tahu, aku akan dengar dia dapat title DATIN pula.
psttt.... Hari tu pun suami dia dah mengadap RAJA PERLIS. Terima pingat.

Ciklia..seorang lagi kawan baikku yang bersama sama mengharungi hidup di Shah Alam dan di USA, kini berada dalam sihat sejahtera nun jauh di Miri. Dia, aku dan makmie tak pernah terputus hubungan. Kami sentiasa menghubungi satu sama lain semenjak keluar dari sekolah, bersama sama di Shah Alam, di USA setelah berkahwin dan beranak pinak. Mereka berdua sering aku ziarahi semasa musim hari raya.

Leeza, Anim, Kak Yah setahu aku kini semuanya kembali menetap di negeri kelahiran mereka iaitu Perlis. Leeza sibuk menguruskan bisnesnya sendiri. Anim pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan suaminya dulu pernah bekerja syarikat yang sama dengan suamiku tetapi di cawangan Bukit Mertajam namun suamiku masih tidak mengenali suaminya. Mungkin kalau kami berjumpa, bolehlah mereka berkenalan. Kak Yah pula telah berpindah tempat kerja di Perlis walaupun sebelum ini dia bekerja di sebuah bank di Alor Star.

Merheda, Na Bakri dan Min adalah 3 kawan karib di kelasku. Tapi Merheda kini tinggal di Balakong, Na pula tinggal di Ipoh di negeri kelahirannya manakala Min menetap di negeri Kedah juga negeri kelahirannya. Merheda dan Na masing masing telah berkeluarga namun Min, gadis kecil molek dan tegas ini masih SINGLE dan menjadi seorang guru di Utara tanahair.

Sewaktu aku berjumpa dengan Min tempohari, aku ada bertanya kenapa dia masih remain SINGLE? Dengan rupa paras yang kecil molek itu MUSTAHIL tiada siapa yang pernah berkenan kepadanya. Setahu aku dari sekolah lagi Min mempunyai beberapa peminat yang sering menghantar nota nota rahsia kepadanya. Bila ditanya, MIN hanya berkata " If not with right person, being single is AWESOME!!" dan terus ketawa kecil. Kadang kadang memang sukar memahami hati budi orang lain hatta seorang kawan yang kita kenali bertahun tahun lamanya. Mungkin kita tidak tahu apa perkara yang berlaku padanya kerana kita juga tidak bersama samanya sepanjang masa. Kadang kadang anak anak dan suami kita sendiri yang hidup bersama dengan kita juga sukar difahami, inikan pula seorang kawan yang telah terpisah sekian lama.

Izal, last but not least, merupakan seorang rakan kelas dan juga bilikku. Katilnya bersebelahan dengan katilku di bilik dan Izal sewaktu dulu merupakan saingan sengitku semasa belajar. Kalau aku agak ke depan di dalam matapelajaran Add Math, Izal pula cukup handal dalam mata pelajaran Kimia. Aku sering meminta pertolongannya untuk mengajar mata pelajaran ini. Aku rasa terhutang budi dengan kebaikannya memahamkan aku dengan pelbagai fakta-keseimbangan-MOLEKUL-Mole-jadual berkala-apekemender lagi-aku dah tak INGAT...dan membolehkan aku mendapat SPM Credit 3 dalam mata pelajaran itu. KALAU TIDAK...Aku rasa mahu aku KIOK ROCK tungging terbalik, dapat SPANAR SEMBILAN in this PARTICULAR SUBJECT...hahahahahaah!!

Aduhai...dunia semakil mengecil. Apabila semakin berumur seperti diriku ini maka kita semakin ramai kawan dan kenalan. Kemana sahaja kita pergi ada sahaja rangkaian rakan dan kenalan terkait ditemui seumpama sarang lelabah yang terbentang di hujung hujung dahan. Kita berbual mesra, bertanya khabar, mendengar berita. Ada cerita cerita gembira, ada cerita cerita sedih cerita kisah suka duka rakan rakan lain yang ingin diluahkan. Biar seramai mana sekalipun rakan baru yang dikenali pastinya kawan kawan yang lama tidak akan mudah dilupakan.

Kawan kawan dan rakan rakan yang ramai ini lah sebenarnya dunia kita dan mungkin merekalah cermin diri kita yang menggambarkan diri kita dan tingkahlaku kita di masa lalu. Bagi aku rakan yang baik adalah rakan rakan yang dapat menyedarkan kita tujuan hidup kita, perbetulkan langkah langkah sumbang kita, peringatkan tingkahlaku kita, mendorong semangat kita, menawar duka lara, menghibur hati semasa sunyi. Adakalanya mereka juga minta pertolongan kita. Dan kita cuba yang terbaik untuk menolong namun tanpa keikhlasan yang telus, mungkin ikatan persahabatan tidak mungkin dapat terjalin.

Akhirnya, carilah rakan yang baik..dan bukan sekadar mencari kawan sewaktu susah sahaja.

p/s
aku pi mana mana ngan suami.. bercuti, jalan jalan..makan makan....ada je TERJUMPA kengkawan, kenalan, sedara mara yang dikenali.. samada kawan aku atau kawan suami.
Kecik betui dunia nih!

sekian

Monday, November 15, 2010

Surat yang tidak sempat dibacakan..

Salam,

Kalau hari ni dideclare Hari Wukuf maka telah 5 tahun Hijriyah ayahanda pulang ke Rahmatullah. Hari ni kalau ikut kalendar tahun Masihi pula, adalah birthday my elder sister.

Hmmm..ayah pergi atas sebab musabab komplikasi diabetes.(walaupun sebab asal sebonar ialah dah memang sampai masa) macam Allahyarham cikgu Hashim juga.

Surat di atas sepatutnya dibaca sewaktu dinner ASPUTRA 2009 yang lalu....tapi disebabkan banyak cikgu cikgu berucap maka surat ini tidak sempat dibaca di hadapan ex studentsnya.
Bila dibaca ketika pengirimnya telah tiada lagi, sayu rasa hati.

Kemana lagi kita kan?? Kalau tidak akhirnya ke sana jua.
.
.
.
.
Agak agaknya nak menongkat dunia sampai bila?
hmmmmm

.
.
p/s surat tu kena edit la sikit sebanyak...
.
.
sekian

Thursday, November 04, 2010

Perginya seorang guru yang dedikasi..

Salam,

Tengahari tadi seorang kawan menghantar message.

" Hida, cikgu mat Hashim @ cannon dah tak dak sat sat nih"

Cikgu Mat Hashim atau lebih dikenali di kalangan pelajar sekolah aku dengan nama gelaran "Cannon" telah kembali ke Rahmatullah tengahari tadi. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital USM, Kubang Krian, Kelantan.

Guru yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Sains Perlis suatu ketika dulu adalah seorang guru yang penuh dedikasi.
Dia agak terkenal kerana mempunyai suara yang garau dan kuat sehingga digelar CANNON. Dia juga seorang jurulatih pasukan bola tampar dan pasukan tenis sekolah kami.

Matapelajaran yang diajarnya ialah GEOGRAPHY.

Walaupun dia hanya mengajar kelas aku selama 2 bulan sewaktu di tingkatan 2 namun kesan pengajaran sungguh terasa.
Aku tak berani untuk mengantukkan diri..hehehe..

Dengan suara nya yang seperti halilintar menyebut perkataan "OSSSSTRRAAAAALIAAA..OSSSSSTRAAALIAAA.. "mana mungkin aku dapat tersengguk dan terlena!

Sebenarnya dia telah kehilangan sebelah kakinya akibat diabetes beberapa tahun yang lalu. Apabila sahaja kami mendapat tahu isterinya kembali ke Rahmatullah secara tiba tiba lantas kawan kawan yang rapat dengan cikgu ini berusha untuk menziarahinya pada awal tahun ini. Ada 5 orang kawan kawan dari batch aku yang telah berjaya menziarahinya. Mereka berpakat untuk mencarinya di Kelantan sana. Alhamdulillah..

Cikgu Mat Hashim dijaga dengan baik oleh anak perempuannya setelah dia kematian isterinya. Dalam usaha ASPUTRA ( persatuan Alumni sekolahku) melancarkan tabung membantunya dari segi perubatan dan kewangan tiba tiba dia telah dijemput Allah terlebih dahulu.

Allah lebih sayangkannya..semoga dia dirahmati di alam sana.
Amiin..

sekian

Saturday, June 19, 2010

SOP ( standard operating procedure)

Salam,

Waktu aku sekolah menengah dulu, aku belajar di sekolah sains. Bila masuk form four and form five pun aku berada di kelas sains tulin. Bila jadi pelajar kelas sains tulin maka aku belajar 3 subjek sains tulin yang terkenal itu, Fizik, Kimia dan Biologi.

Aku suka kelas fizik..dan aku rasa mata pelajaran ni mudah jer aku terima dan masuk dalam kepala otak..
Aku kurang gemar subjek Biologi. Sebab banyak mender yang aku kena ingat dan tak ada formula macam Fizik.

Kimia?? Subjek yang paling aku BLURRR sekali di antara ketiga tiga subjek sains ini..tapi entah macamana punya bagus cikgu yang mengajarnya maka dia boleh jadikan aku TERUS MEMPELAJARI SUBJEK ini sehingga mendapat C3 ( kira bagus la dapat credit 3 zaman aku tu...hahaha) dalam peperiksaan SPM aku.

Dalam kelas KIMIA ini, kami selalu diingatkan untuk melakukan ujikaji dengan hati hati. Kami berhadapan dengan pelbagai bahan kimia. Antara bahan yang paling merbahaya ialah asid pekat. Kalau bahan ini terkena pada pakaian atau tubuh badan sahaja boleh menyebabkan kemalangan yang teruk.

KAMI KENA IKUT PERATURAN!!
ADA PROCEDURE.
STANDARD YANG TELAH DITETAPKAN OLEH KEMENTERIAN!..

Kalau ambik bahan kimia yang merbahaya begini begitu mulut cikgu mengarahkan.
Kalau melakukan proses ujikaji, begini begitu cikgu mengingatkan.
Kalau selesai kerja ujikaji, begini begitu cikgu menyedarkan.
Pendekata dalam makmal KIMIA, cikgu dan lab assistant akan tengok kami semua melakukan ujikaji macam helang memerhati ayam..

TAPI THINGS HAPPENED one day!!!

Entah macam ada juga kawan aku terpercikkan asid pekat ke atas seorang rakannya.
Semuanya disebabkan GURAUAN TERLEBIH SUDAH!!
APA LAGI berlubang baju dan bahu..


DAN CIKGU AKU pula.....
( KORANG BAYANGKANLAH MACAMANA SATU KELAS KAMI KENA LETERRRRRRRRRR walaupun cikgu tu adalah cikgu lelaki dan bukan kerjanya untuk berleter).
Selepas itu aku ngeri dengan bahan kimia...
.
.
.
.
dan entah macamana SOP ni menjadi subjek berbangkit pulak hari ni...

HUWAAAAAAAAA!!!

sekian

Tuesday, January 26, 2010

SEKOLAH MENENGAH SAINS TUANKU SYED PUTRA!!

SALAM...

MACAM TAK PERCAYA SEKOLAH AKU MASUK DALAM LIST TOP 20 !!!
HA HA HA

Tahniah kepada cikgu cikgu, anak anak, adik adik serta alumni yang bertungkus lumus menaikkan nama SMSTSP!!

Been there 1980-1984!!!

smile

Tuesday, January 19, 2010

Tahun 1982

Salam,

Cikgu yang terdapat dalam gambar ini adalah Cikgu Suradi Sujak.
Orang Johor.Ini adalah antara gambar yang aku taruh dalam Fb aku.
Aku taruhkan juga dalam group ASPUTRA.
Untuk tatapan alumni sekolah aku.

Gambar ni diambil oleh Mr Ong ( cikgu sekolah yang stay sampai PENCEN!!) untuk boh kat magazine sekolah 1982.

he he he..time ni aku pun termasuk mewakili sekolah.

Masa perlawanan antara sekolah sekolah kat Perlis, selalu acaranya diadakan mula jam 2.30 petang.
Kat Perlis pulak cuaca paham paham la..
TERIK !!!
Lepas habis semua game, muka aku jadi belang belang macam ZEBRA!!

Aku tak sure cikgu yang dalam gambar tu melatih kami atau tidak. Aku rasa dia melatih pasukan pelajar lelaki. Yang aku ingat ada dua orang cikgu lelaki berbangsa Tionghua yang dok latih kami.
Ajar baling bola dan sambut bola mesti kena bunyi "POP" dalam itu MIT!!

ha ha..

Bila aku pi Chicago, akulah yang rajin dok melangut tengok game baseball kat TV. All my roomates HERAN awat aku suka tengok pasukan White Sox, Cubs, Yankee etc main...

well..sebab aku tau game tu kira lagu mana..
....dan ROOMATE aku pulak tak ambik pusing sebab tak faham.
Buat lagu mana kan??
ha ha

sekian

Friday, December 11, 2009

Selut..

Salam,

Tadi pi boh jejak bertapak sat kat kengkawan sebaya punya yahoogroups. Bila dah sembang pasai sekolah teringat masa kami dok MERENTAS DESA. Waktu tu memang betui betui desa yang direntas.

Macam la ni kat BBBangi, mana ada desa.
Anak anak dok pi round jalan besag ja.

Time aku dulu kena rentas bendang, tali ayark, rumah orang....belukag etc.

Aku tergolong dalam golongan pertengahan dalam arena merentas desa nih.
Tak la handal.
Tapi tak la COROT pulak!
Turut sumbangkan pertambahan mata gak la untuk rumah MUSYTARI (werena IJO) aku tu...
ha ha ha

Aku tak gemor time kena lalu sepanjang jalan kat tali ayark. Ishhh.... panaih punya la terik. Sunburn. Pastu sepanjang belari lari anak tu bukannya ada depa bagi ayark pun. Memang menyiksa batin betui...
Cuaca kat Peghelih..
Berdesing. Tak dak pokok pulak tu.
Bila tiba kawasan rumah orang baru la dapat berteduh.

Tapi part yang kena meniti titi dan melintas tali ayark lagi best. Budak lelaki takleh meniti. Depa kena harung tali ayark yang ayarknya macam selut tu.
Pastu bila balik dorm...tup tup tak dak ayark kat paip.
Nak mandi takleh...
ha ha ha..
Kering selut kat badan.

Bau???
.....adalah seumpama aroma KERBAU BALAG!

best kan?

sekian

Friday, October 30, 2009

Kolah di sekolah..

Salam,

Ini satu cerita lagi yang dipetik dari kawan aku. Patutnya kawan aku ni buat blog dia sendiri. Mesti best..sebab dia lagi pandai olah ayat. Aku suka baca cara dia tulis kat emailing group kami.
Cerita dia lagi kelakar giler..

Tapi dia bagi alasan tak reti nak buat blog. Satu lagi dia kurang ada masa nak mengadap computer. Hanya sekali sekala saja.....sebab anak dia pun merenyut macam anak aku. Cuma bezanya anak dia sorang sahaja pompuan. Yang sulong. Itu pun dia dah hantag pi asrama kat Kelantan. Yang lain jantan belaka!!
Kesian kat kawan aku ni..dok pekesah anak jantannya yang seramai enam orang itu!

(Makmie, kalau hang baca entry nih aku nak cuba olah balik jalan cerita yang hang karang dalam email dulu tu...ha ha ha)

Sewaktu aku belajar di sekolah menengah ( Sekolah Menengah Tuanku Syed Putra, Kangar dari tahun 1980-1984), kami selalunya terpaksa menghadapi keadaan di mana TERPUTUSNYA bekalan air. Kadang kadang pagi pagi lagi budak budak lelaki terpaksa pergi ke taliair yang berhampiran untuk mandi manda..( air di taliair itu baunya macam air LUMPUR, okay..sungguh tak best sekali!) tapi kami di asrama puteri sukar sekali berbuat begitu. ( memang tak dak siapa yang boleh buat..takkan nak berkemban kat taliayark kut)

Jadi untuk mengatasi masalah keputusan air maka pihak sekolah telah membuat kolah kolah yang agak besar untuk tadahan air. Ada 3 kolah besar yang bersambung di dalam WASHROOM dan juga kolah yang di bina sepanjang tempat shower di bilik air tingkat bawah. Selalunya bilik air tingkat 4, jarang sekali digunakan kerana air sukar untuk sampai ke tingkat atas. ( Bilik air tingkat 4 ni macam bilik SERAM jer tau...so spooky)

Kolah di washroom inilah yang paling kerap digunakan saban hari oleh semua pelajar perempuan di asrama kami. Ianya bukan sahaja tempat untuk membasuh pakaian tetapi juga tempat mandi manda secara terbuka dan beramai ramai...ha ha ha ( sila berkemban macam makcik makcik kat tepi sungai, okay)

Di kolah yang besar ini, air tadahannya cukup banyak dan kawan baik aku ni pernah menyatakan hasrat hatinya untuk melakukan sesuatu!
ha ha ha...cer teka?

Oh ye...seperti juga diri aku nih, kawan aku tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki untuk masuk ke mana mana kolam RENANG semasa zaman kanak kanak. "Kolam renang" kami hanyalah taliair taliair berhampiran bendang yang airnya akan KEROH dan berselut selut apabila kami BERKUBANG!

Jadi korang tahu apa yang ada dalam kepala hotak kawan aku nih?
Ya benar...dia nak berKUBANG dalam kolah....errrr tapi bagaimana?..dan BILA?

Maka tricknya ialah pada satu hari di minggu minggu terakhir SPM, kawan baik aku dan dua sidekicksnya telah sama sama MENCUCI kolah ini.
Sesambil cuci KOLAH ini mereka pun mengambil peluang merendam rendamkan tubuh badan ala ala hippopotomus.
ha ha ha...

Cam best jer kan?
UNtuk tidak meninggalkan kuman kudis buta atau juga panau melepat kepada adik adik junior yang akan menggunakan air kolah itu di kemudian hari maka kawan kawan aku itu melepaskan air sebanyak NTAH BERAPA GELEN dari 3 kolah yang bersambung itu selepas kegiatan DUA DALAM SATU itu..

Weiiii....banyak OOOOOOOOO airnya...

sekian

p/s ....tapi dua sidekicks itu bukan aku TAU!

Tuesday, October 20, 2009

SEMBORRR..


Salam,

Aku dan seorang kawan lamaku, sekarang menjadi guru di sebuah sekolah di Sungai Petani, selalu berceritakan kisah kami sewaktu berada di sekolah terutama kisah semasa minggu minggu menghadapi SPM.

Pada minggu itu hanya kami, pelajar tingkatan lima, sahaja yang berada di asrama.
Pelajar lain semuanya sudah pulang ke kampung masing masing samada di Perlis, Kedah, Perak dan sebahagian kecil di selatan tanahair. Pelajar Sabah dan Sarawak juga biasanya mendapat tiket percuma untuk terbang ke kampung halaman.

Minggu peperiksaan SPM memang penuh tekanan.
Ianya juga cukup sunyi dan agak membosankan.
Masing masing berteleku di meja studi..

AAAAAHHHHH...
bila tiba saat saat akhir di mana hanya subjek seperti ADD MATH sahaja yang masih belum diduduki maka tanduk masing masing mula keluar untuk mencari idea yang menerujakan..
ha ha ha

Malam itu aku lepak di sebuah bilik.
Tiba tiba beberapa rakan masuk ke dalam bilik itu dengan membawa sebuah BALANG berwarna BIRU. Balang yang berat. Balang PEMADAM API!!

"Wei, kita bayark duit deposit RM20 setiap tahun untuk cover apa apa yang telah kita rosakkan. Kalau kita tak rosakkan apa apa, sekolah kita nak pulangkan balik tak duit tu?" tanya seorang teman.

" Lima tahun kita dok sini bermakna dah RM100 ringgit"

"Kalau ada 100 budak bermakna sekolah masuk duit RM10,000, free free..."

"Kata nak bagi balik duit deposit tu...ni sampai nak habis sekolah dah, tapi tak bagi balik pun.." sampuk sorang lagi.

"Balang penyembork api ni dok bergantung tepi dinding kat tangga, ada sapa gherti guna tak?"

"Daripada dia dok jadi hiasan sampai berkarat, apa kata kita try tengok macamana cara nak guna"

Mula mula pakat ambik satu batang lilin.
KUNUNNYA, nak padamkan api lilin GUNA PEMADAM API tersebut....
Pastu KEROBEK balang tersebut.
Baca instruction.
Cabut satu pin, ada kawan pun cabutkan.
Pastu suruh hentakkan tangan di atas peladak.
Hentak dengan tangan..
Okay...tangan semua besark batang lidi maka tak jadi apa apa.
Pakat hentak dengan kaki. Kaki besark batang penyapu tetapi masih tiada apa apa yang berlaku.

Aku dok perati kengkawan....
Awat teruk sangat nak guna pemadam api nih.
Kut betul betul la ada kebakaran, boleh rentung sebab pakat tak larat nak hentak peladak tersebut.

Seorang kawan keluar. Ambil satu kaki kerusi yang dah patah.
Hentak! Hentak! Hentak!
KONG...
KONG...
KONG...

Tak memberikan hasil apa apa.
Semua yang pada mulanya tadi begitu teruja, sudah semakin hampa.
Badan mula letih dan berpeluh.
Aku juga mula beredar ke studyroom kerana ingin meneruskan studyku.
Tetapi tidak berapa lama kemudian terdengar jeritan kegembiraan serta hilaian ketawa yang memecah kesunyian malam.
Aku dan kawan kawan yang berada di studyroom pantas berlari menuju bilik itu.

OMG!!
Lantai bilik penuh debu PUTIH..berkeledak.
Dua tiga orang kawan yang TERUS MEMPROSES PROJEK itu pun sama diselaputi debu putih.
Mereka semua ketawa...

Batang lilin yang apinya ingin dipadamkan?
TERPELANTING entah ke mana....

Mungkin kami agak gila gila.
Kami remaja...waktu itu.

Tapi satu pengajaran yang boleh diambil...
"Orang tak padamkan API LILIN guna FIRE EXTINGUISHER"
apekemengongsangat...
he he he he he he..

sekian

Tuesday, August 25, 2009

Jarang sahoor..

Salam,

Sewaktu aku remaja dan juga sebelum berkahwin jarang aku rajin untuk bangun dan bersahoor sewaktu Ramadhan terutamanya di sekolah menengah. Berpuasa ( atau juga tak puasa ) di sekolah agak menyiksakan kerana agak sukar sekali bagiku untuk bangun sahoor. Sahoor di sekolah agak awal kerana kami ada waktu supper sekitar jam sepuluh. Pakcik dan makcik dewan makan akan masak untuk sahoor selepas waktu itu. Sekitar jam 3.30 am - 4.00 am loceng di Dewan Makan sudah bingit memanggil manggil pelajar untuk turun ke dewan makan.
Selalunya di sekolah, aku tidur sekitar jam 1.oo atau terlajak hingga ke pukul 2.00 untuk study. Dan kalau aku dapat bangun jam 3.00 atau 4.00 pagi maka itu bermakna aku hanya tidur sekitar 1 atau 2 jam sahaja...ohhh itu satu keMUNGKINan yang amat luar biasa!!

Bangun untuk sahoor di sekolah juga amat DRAAAAGG sekali. Kalau pelajar lelaki boleh selamba sahaja untuk pergi ke dewan makan dengan memakai kain pelekat atau baju pijama mereka..atau apa apa sahaja yang mereka pakai sewaktu tidur..( TAK SENONOH kan?)
Tetapi bagi pelajar perempuan, mereka MESTI berbaju kurung untuk ke dewan makan.

Sewaktu hari biasa (luar dari waktu sahoor) pelajar perempuan DIWAJIBKAN memakai baju kurung SEKOLAH sebaik sahaja keluar dari pintu pagar asrama tetapi diwaktu sahoor, kami dibenarkan memakai BAJU KURUNG MUNGER MUNGER!
Alahai..nak memakai baju kurung MUNGER MUNGER lak time sahoor itu amatlah MALAS sekali. Kalau boleh pi dewan makan pakai kain batik, kan ke mudah? he he he..

Pulak tu sewaktu sahoor, makanan di dewan makan adalah TERSANGAT tidak menaikkan selera sekali. Budget dapat KUAH PETROL ngan IKAN TERMENUNG KORAIH jer..Mana tak termenung tepi tray tu. Kalau dah bersusah payah bangun pukul 3.30 pagi, pakai baju kurung MUNGER MUNGER lak tu ( melaram pepagi BUTA) tup tup dapat makan nasi berkuah petrol dan bertemenung koraih jer...alahai..memanglah tidak berselera langsung! Tu tidak termasuk sayur sawi yang digoreng lebam atau sayur kobis yang TAWAU!!
Bila mengenangkan makanan yang dihidang sewaktu sahoor inilah maka aku lebih rela untuk menyambung tidurku dan mengeroh sampai ke subuh....he he he

sekian

Friday, July 17, 2009

Poem From Starfall.com

Salam,

Aku TERSANGAT suka poem kanak kanak ni. Waktu aku kecik kecik dulu, masa darjah 1, 2, 3, 4, aku selalu masuk pertandingan Poem Reciting.
Dan aku selalu menang..baik lawan antara kelas mahupun antara sekolah sekolah Daerah Krian. Antara poems yang aku ingat ingat LUPA ialah A little pencil; Tip tip Toe;The Balloons; Stop, Look and Listen; Someone Came Knocking...
Hmmm..kalau lah aku boleh ingat semua wordings poems ni..InsyaAllah, aku akan ajar pada anak anak murid aku.
Malangnya aku tak ingat wordingsnya..
LAMA dah..
BERKURUN!

Yang menarik takkala membaca poems ini, aku sentiasa dilatih untuk menyebut perkataan perkataan English itu dengan sebaik mungkin oleh seorang guru..
Dan cikgu tu namanya Mrs Tan.
Itu adalah antara kenangan CUKUP bermakna buat aku, seorang anak kampung yang dok kat sekolah di SEMANGGOL tu!

Okay..
Aku ada poem yang diCILOK dari STARFALL.com..
Wordings nya cukup indah..

kalau anak anak AULAD boleh recite poem ni, cikgu pula boleh buat prop atau costume yang ada kena mengena dengannya mesti BEST!

Title: If I could touch the sky
(by NATASHA JOSEFOWITZ)

If I could touch the sky,
I would grab a star
And hanging it in my bedroom

If I could touch the sky
I would pull down the moon
And use it
To light up my room

If I could touch the sky
I would catch a cloud
And use it
For my pillow

If I could touch the sky
I would give away
All the stars that are there
To sprinle everywhere

Who would you give the stars to?

simple kan wordings nya tapi cukup indah...

sekian!

Thursday, July 09, 2009

Muzium!

Salam,

Kalau aku pergi mana mana, misalannya membawa anak pergi Pahang ke, Melaka ke, Johor ke, aku rajin juga menyinggah di muzium atau tempat tempat yang tercatat sejarah silam.
Di dalam Selangor ni sebenarnya ada juga muzium atau Galeri yang masih tidak aku kunjungi lagi..
Gambar di bawah kelihatan dua orang personaliti yang sedang meninjau keadaan di Galeri DiRaja Selangor. Lokasi Galeri ini ialah di Kelang.

Hmmm antara dua orang personaliti ini siapakah agaknya yang korang kenal?

ha ha ha..


Uikkkss...
mestilah ramai boleh cam Eli!!

Waktu malam ASPUTRA hari tu, seorang kawan aku menegur aku sebab pakai baju MERAH MENYALA!!..
Hellooo..
yang merah menyala tu tudungnya.
Baju aku dark kaler.
Tak perasan ker???

Well..dia kata hang ni WANITA U MANO ker?
Aku balas balik..
Kalau aku u Mano, dia mesti MUSLIMAT PAS...
Dia kata tak pulak, aku kawan ngan elizebet wong..

he he he..

BIAG betui!!
tapi sebetoinya perbualan di atas sekadar gurauan saja.

Errr..mengenai gambar di atas tu,
aku rasa aku lebih kenal dengan mamat yang pakai necktie itu berbanding dengan Eli.

Hangpa rasa sapa dia ni?
Cer teka!

smile...

Wednesday, July 08, 2009

Zaman sekolah

Salam,

Actually I am still in the CLOUD NINE. Masih lagi mengenangkan kembali saat saat bersama kawan kawan di SMTSP.(1980-1984)

Mengenangkan moment yang mengarut yang pernah di lakukan. Pun begitu aku tahu sempadan diri..tidaklah sehingga boleh menggugatkan pencapaian akademik ataupun sehingga runtuh moral yang boleh membawa kesan negatif berpanjangan.

I think they were the best time of my life..
Gee, I sound like my old teacher.
I'd heard such words before!!

smile...

Friday, July 03, 2009

Esok ada DINNER alumni!

Salam,

Malam esok ada dinner ASPUTRA (alumni Sek Men Sains Tuanku Syed Putra, Perlis).

Aku nak pergi. Dah tempah tempat duduk dah pun..
Sebenarnya esok aku dah janji ngan kengkawan pergi lepak kat Hotel dari pukul 3 petang lagi.
Ada yang nak menyicah pelam ngan GARAM BELACAN tepi kolam renang...

( Ni ngan Geng POMPUAN la ni..Had lelaki, depa lepak kat PADANG RAGUT)

Depa pakat nak bawak buah pelam, buah amra, buah jambu berbagai lah.
errrr..sapa bawak GARAM BELACAN? Aku pun tak sure!

Tak cukup belacan kalu, kat ghumah aku ni ada satu plastik belacan bakag yang aku angkut dari Melaka tempohari..TAK HABIS HABIS lagi..Stok 3 bulan TAU!! Lagi pun la ni MELAKA tu dah macam dekat jerr..

Habis stok, aku boleh beli lagi.
Tumpang dah anak aku tersadai kat sana sekarang.


he he he..

Bila sembang pasai sekolah, aku teringat kat Almarhum Raja perempuan Peghelih yang besa bagi hadiah kat aku. Merasa la juga naik pentas waktu Hari Penyampaian Hadiah...kat sekolah dulu..
Raja Perlis ngan Raja Perempuan turun untuk bagi hadiah kat kami TAU!! ( cam eksyen..ha ha)
Ya lah.. dah sekolah pun guna nama Almarhum Tuanku Raja Perlis.


Tu tangan aku le tu..yang terima hadiah.
Dapat le hadiah salah satu MATA PELAJARAN TERBAIK!


he he he
buat kenangan...


Sebenarnya hadiah untuk satu mata pelajaran tu aku dapat selama tiga tahun untuk the whole tingkatan. Waktu form one, waktu form three dan waktu form four. Pemegang subjek tu lah kiranya aku ni..

macam terer le sangat!

ha ha ha...

Dak aihhh..Siapalah aku ni?? KEBETULAN jer aku rasa..Tak de mende aku ni. Terlalu kerdil dibandingkan dengan orang lain..

Malam esok, dijangkakan ramai yang akan hadir dari kalangan bekas guru guru yang pernah bertugas di sekolah. Bekas pengetua Dato' Abdul Rahim Abdul Majid juga akan hadir. Geng SUPER SENIOR agak rama juga yang akan hadir. Batch aku, 1980-1984 dijangka akan hadir seramai 30 orang lebih. Ramai yang dah aku jumpa pada gathering sebelum ni. Tapi ada juga yang baru nak berjumpa pada gathering kali ini. Tak sabar rasanya nak melihat kawan lama yang dah 25 tahun terpisah..Bagaimanalah agaknya rupa mereka..

Aku yang kurus KERING SEKEPIANG dulu pun dah TAMBUN dan bertimbun lemak di badan. Kalau dulu berat badan around 40 plus KG..SEKARANG???

ha ha ha..JANGAN TANYA!..( rasa cam nak masuk ASIA's The biggest loser jer)

okaylah..

semoga perjumpaan hari esok berjalan dengan lancar. InsyaALLAH.

sekian








Wednesday, March 25, 2009

Kisah seorang teman..

Salam,

Sebelum aku teruskan penceritaan aku ni, aku nak minta maaf pada teman aku yang mungkin membaca entry ini. Aku nak menceritakan kisahnya dari sudut pandangan mataku yang mungkin ramai di antara kawan kawanku tidak pernah mengetahuinya. Mungkin teman aku ni akan meluku luku kepala aku sebab MEMANDAI MANDAI tapi inginku sampaikan di sini bahawasanya mungkin apa yang dilaluinya dapat memberi MOTIVASI kepada anak muda di luar sana..
MUNGKIN..siapa yang tahu..InsyaAllah..
jadi temanku, izinkan aku teruskan menceritakan kisahmu dari sudut pandanganku!!

____________________________

Teman aku ni, dah dikenal lama. Sebelum ke sekolah menengah lagi. Aku kenal dia secara kebetulan.
Bila tiba di sekolah menengah, pada mulanya aku dan dia tidaklah sekelas tetapi hubungan kami agak baik maklumlah ukhuwah yang terjalin di asrama.

Aku sebenarnya lebih rapat dengannya ketika di dalam tingktan empat kerana ketika inilah kami sekelas. Kami sering berbual mesra, bergurau senda dan ceria bersama.
Kawan aku ni memang jenis yang periang...
Kalau dari airmukanya jarang sekali melihat dia berduka..
Cuma kawan aku ni jarang menceritakan kisah keluarganya walaupun kami semua tahu dia adalah anak sulong dalam keluarga.

Hinggalah pada suatu hari di dalam tingkatan 5...

'A' dipanggil untuk ke pejabat dan petang itu 'A' bergegas untuk balik ke kampungnya. Oleh kerana 'A' adalah anak Perak maka aku sebagai anak Perak tetap tertanya tanya kenapa 'A' terpaksa pulang dengan begitu cepat.
Sehinggalah selang sehari kemudian 'A' balik semula ke sekolah seperti biasa..
Kami tanya 'A' apa yang berlaku..Mulanya 'A' hanya kelihatan seperti biasa saja..mengatakan bahawa tiada apa yang berlaku melainkan ayahnya sakit kuat. Dan kami semua percaya sebab 'A' memang kelihatan biasa dan selamba.

Hinggalah bila tiba waktu prep petang, kami terus menerus bertanyakan perihal sebenar maka akhirnya 'A' menceritakan bahwasanya ayahandanya telah kembali ke Rahmatullah.

Hati aku berdetik kerana mengetahui ayahandanya adalah seorang pemandu teksi yang tidak berharta tambahan pula ibunya hanyalah seorang suri rumah tangga. Kami, kawan kawannya mendesak supaya dia bercerita tentang keadaan adik adiknya. Aku tahu bahawasanya dia mempunyai 4 orang adik dan yang terakhir berumur tidak sampai setahun sewaktu itu.

Dia mengatakan ibunya menyuruh dia meneruskan pelajaran dan akan cuba mencari nafkah bersama adik lelakinya. Adik lelakinya yang paling besar sewaktu itu baru sahaja hendak mula naik tingkatan satu dan mendapat tawaran ke sekolah Izuddin tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran.

Berkorban diri demi kekanda yang ingin terus belajar di dalam tingkatan lima, adik lelaki dan ibunya berjinak jinak dalam perniagaan kecil kecilan menjual hasil laut yang dikeringkan di pasar.
Pendapatan lain pula ialah hasil dari sewaan teksi ayahandanya yang ditinggalkan.

Sewaktu teman aku menceritakan kisahnya ini, aku seakan tidak percaya pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh adiknya yang ketika itu baru berusia 13 tahun.

'A' berjaya meneruskan pelajaran bersama sama aku di Shah Alam sebaik sahaja tamat tingkatan lima.
Antara perkara yang ditakuti oleh 'A' ialah ketika mana aku mengatakan untuk menziarahi rumahnya di Perak itu.
'A' bermati matian tidak membenarkan aku datang tetapi tanpa keizinan 'A' aku akhirnya sampai juga ke rumah kecil 'A'....yang hanya mungkin layak dipanggil pondok.
Hatiku terasa seperti mahu menangis ketika itu tetapi seperti biasa 'A' menjadi dirinya yang bersahaja..

Masih ku ingat lagi katanya," Sapa sughuh hang mai...takut gheban (runtuh) ghumah aku ni. Ghumah aku kecik..Awat hang mai juga?"

Sebenarnya mungkin teman aku tu tidak mahu kawan kawannya mengetahui penderitaan yang ditanggung oleh keluarganya. Mereka tabah..cekal..dan yang paling penting, mereka tidak mahu kesusahan mereka diheboh hebohkan.

Ketika di Shah Alam selalu aku lihat teman aku mengikat perutnya, hanya makan sekali atau dua kali sahaja (alasannya ..aku DIET laaa) dalam sehari kerana aku tahu separuh dari wang biasiswayang diperolehinya dikirimkan pada ibu di kampung. Jika diajak makan makanan kami di dalam bilik, 'A' seperti dirinya tetap tidak mahu menyusahkan kawan kawan melainkan KAMI PAKSANYA UNTUK MAKAN BERSAMA!

Segala kesusahan perjalanan hidup 'A' akhirnya menemui sinar di penghujung..
Aku rasa seluruh ahli keluarganya telah keluarga dari jerut kemiskinan dan 'A' kini mempunyai ijazah double major yang diperolehinya dari sebuah universiti di USA dan meneruskan hidup bersama keluarga tercinta...

'A', kudoakan hidupmu terus menerus diberkati Allah...

Sekian

Friday, March 20, 2009

Perginya seorang guru sekolahku..

Salam,


Baru sebentar tadi aku buka yahoogroups..Dua hari tak dapat tengok yahoogroups. Sibuk ke hulu ke hilir selesaikan urusan anak. Aku hanya tengok blog aku saja. Blog orang lain pun tak berkesempatan nak tinjau tinjau lagi..

Dapat berita sedih..


Seorang guru sekolah lamaku, Cigu Ahmad Husin telah kembali ke Rahmatullah pda petang Rabu di Hospital Ampuan Rahimah, Kelang. Dia datang ke rumah anaknya di Seksyen 7, Shah Alam tapi telah tiba tiba di serang sakit..(aku suspect macam heart attack..kalau daripada gambaran yang kawan aku hantarkan dalam yahoogroup tu..wallahualam..aku bukan doktor)

Entah bagaimana, dia sakit sakit dada hingga berpeluh peluh macam mandi..dan akhirnya petang around pukul 5 telah disahkan meninggal dunia di hospital.


Oleh kerana cikgu Ahmad Husin ni orang Peghelih maka kebarangkalian besar jenazah beliau akan disemadikan di sana. ( tak da siapa update kan berita dari Peghelih..hopefully ada kawan aku yang pergi waktu pengkebumiannya di sana..)


_________________________________


Sewaktu aku sekolah kat Peghelih sana tu, Cikgu ni mengajar P.E ( physical education)..Dia memang ajar kelas aku tapi disebabkan waktu P.E, girls and boys separated maka kami yang perempuan bergurukan Miss Anne manakala boys di bawah supervision cikgu Ahmad Husin ini.


So cikgu Ahmad Husin memang dikenali oleh semua pelajar lelaki sewaktu itu.

He was a nice man and cikgu yang peramah...(kebanyakan cikgu dari Peghelih memang macam tu..stail orang kampung..concerned, humble and down to earth..in fact kawan kawan aku dari Peghelih pun mostly macam tu..Aku suka depa macam tu..Please, orang Peghelih...)


Aku berdoa agar cikgu aku ni dirahmati Allah dan moga mog rohnya bersama sama orang orang yang soleh..Amiiinnn..


wassalam

Saturday, February 21, 2009

Overacting..

Salam,
Entry sebelum ni aku cerita pasal bakat. Antara bakat (....satu kurniaan Allah) yang pernah ditonjolkan di sekolah samada sekolah rendah atau menengah ialah bakat berlakon aku. Acara lakonan pentas (macam teater le pulak...) yang banyak aku sertai ialah ketika aku di sekolah rendah. Sewaktu di sekolah menengah bakat ini kupendam sahaja. Mungkin aku rasa ramai yang lebih berbakat dari aku...hmmm...

Sewaktu di sekolah rendah antara lakonan paling mengukir sejarah hingga geng kami ni dijemput untuk berlakon sebanyak dua kali ialah lakonan dalam bahasa Inggeris 'Mahsuri, the legend'.

Dalam acara lakonan ni, memang aku seorang sahaja yang perempuan dan menjadi watak utama. Kami berlakon dalam satu pertandingan antara sekolah sekolah di Taiping. Kiranya sekolah aku ni wakil dari sekolah kampung laaa. Kami lawan dengan seluruh sekolah terpilih di Taiping tu. Saingan kami adalah dari sekolah sekolah hebat seperti Convent, Methodist, sekolah jenis Kebangsaan Cina, King Edward dan lain lain. Memang menggerunkan...

Dalam pertandingan ni sekolah aku S.K.Gunung Semanggol, memang la tak menang. Tak dapat no 1,2,3 pun. Tapi bila guru BESOR tengok result markah, sekolah kami jatuh tempat ke 4. Dari banyak banyak sekolah tu, tempat ke 4 adalah pencapaian yang cukup memberangsangkan...he he he..kami mendapat pujian dari jemaah hakim!!

Dan ada sorang cikgu Cina, entah dari sekolah convent mana tah, dia datang jumpa aku. Cakap sok sek sok sek..dalam bahasa Inggeis...puji pujian..(aku sebenarnya tak le faham sangat..sengih sengih jer la..). Dia cakap 'Good..good' aku faham laaa..

Dalam lakonan ni la aku overacting...TERLEBIH SUDAH!

Waktu si 'Mahsuri' baca sumpahan ke atas penduduk 'Langkawi' tujuh keturunan itu, si 'Mahsuri' begitu beremosi (menghayati lakonannya) sehinggakan keluar air matanya terisak isak... (banyak markah dapat kat situ).
Kemudian takkala 'Mahsuri' kena tikam dengan tombak dan mengalirkan darah putih..(cikgu boh susu dalam plastik..lekat kat dalam baju aku), 'Mahsuri' menjerit melolong hingga terasa kegerunan di dalam dewan tempat pertandingan di adakan..(diikuti dengan bunyi guruh dan taufan dari dalam kaset radio cikgu aku)..

he he he....ingat ingat balik kelakar pun ada!

Itu antara kenangan sekolah rendah...