Saturday, August 30, 2008

oooh ibu..

Salam,

Aku tak tahu samada aku patut menyesal, mengeluh, menangis, sedih, marah, benci, gembira atau apa.. Aku sudah tidak tahu membezakan perasaanku. Aku sebenarnya agak keliru. Sukar untuk aku berfikir secara rasional walaupun sudah berkali kali aku cuba untuk tidak memasukkan emosiku sewaktu aku berfikir..

Ibuku dilamar oleh jiranku..!!

Ibuku yang telah berumur 60 tahun dan telah menjadi balu selama hampir 3 tahun ini kini menunggu nunggu jawapan kami adik beradik untuk samada bersetuju atau tidak dengan lamaran pakcik jiran kami itu.

Secara kebetulan pakcik yang berumur kira kira 60 tahun ini juga telah kehilangan isterinya sebulan yang lalu dan disebabkan oleh penyakit yang serupa dengan ayahandaku

Esok, sepatutnya aku bersama dengan adik adikku untuk bersemuka dengan ibuku di kampung..tetapi nampaknya aku memutuskan untuk tidak hadir! Entah kenapa..Mungkin berbagai perkara yang aku terpaksa fikirkan dalam masa terdekat ini. Dan perkara mengenai ibuku ini seperti seolah olah satu perkara yang aku ingin ketepikan dan cuba tenggelamkan. Ianya seolah tidak termasuk dalam senarai perkara penting. Ianya seolah satu perkara yang tidak harus berada dalam perkara penting WALAUPUN ianya satu perkara yang amat penting!

Aaaahh!!

Tempohari, aku dan adik beradikku telah pun bersetuju sebulat suara untuk membiarkan ibuku bernikah lagi. Bagi kami semua, kami sebenarnya tidak layak membuat keputusan untuk membantah kehendak ibu kiranya bonda ingin bernikah lagi. Tidak kiralah samada ibuku telah melewati umur 60 tahun sekalipun. Bukan hak kami sebagai anak untuk menentang! Malah kami tidak layak sama sekali..

Tapi hatiku tetap merasa sayu..malah airmataku tak mungkin dapat kutahan kiranya aku mengingati diri ayahandaku. Mujur kandaku yang seorang itu faham dan adinda adinda lain juga faham. Ayahanda tetap ayahanda. Dia insan yang unik dan tiada mungkin akan ada pengganti seperti ayahanda di hati kami semua.

Ibuku keseorangan. Sebagai seorang wanita tua yang keseorangan di kampung, kedudukan ibu agak merbahaya tambahan kampungku kini seringkali ada pecah rumah. Ibu selalu menyatakan kerisauannya bila keseorangan. Kami semua faham tentang itu.

Cumanya calon yang melamar ibu ini yang agak disangsi..Entahlah..Aku tidak kenal hati budi jiran ini walaupun dia seorang jiran..Sewaktu zaman kanak kanakku, kami jarang diberi kebenaran untuk bermain di rumah mereka. Setahu aku, anak pakcik ini ada yang sebaya dengan kami tapi aku sudah ingat ingat lupa kerana mereka pun jarang datang ke rumah kami.

Lagipun masa remajaku bukan banyak di kampung. Bila sudah dewasa maka masing masing sudah punya keluarga sendiri jadi agak sukar untuk bertemu mesra.

Aku terlalu takut untuk menerima hakikat ini, gamaknya..Aku telalu takut pada perkara yang aku sendiri tidak tahu. Memang benar cakap kandaku atau memang benar juga bisik hatiku..

Banyak perkara sebenarnya yang berada luar daripada pengetahuan kita. Kita terlalu kerdil. Pengetahuan kita terlalu dangkal. Kita tidak tahu masa hadapan kita dan bagaimana mungkin kita sangsi pada masa hadapan. Apa pun yang akan berlaku pada masa hadapan ini bukannya dalam perancangan kita sebenarnya. Ianya dalam perancangan Allah cuma kita sahaja yang mesti bersedia melaluinya.

Samada kita berjaya melaluinya atau tidak, itupun bukan pilihan kita..

No comments: