Salam,
" Siah, kalau konduktor tu tanya, kata jer budak Hida ni tak sekolah lagi. Tak payah bayor tambang. Jimat sikit" begitulah pesanan Pak Yang Zambri ku sewaku aku dan Mak Yah balik semula ke Batu Gajah dari kampung Opahku di Pasir Kubu.
Sebelum tu, aku di dukung oleh Pak Yang dan diloloskannya aku menerusi tingkap bas yang akan bertolak dari pekan Parit. Orang cukup ramai dan berebut rebut menaiki bas ke Batu Gajah. Aku disuruh oleh Pak Yang meletakkan beg di tepiku supaya Mak yah akan dapat tempat duduk bila dapat menaiki bas itu nanti.
Walaupun aku sudah bersekolah dan berada di dalam darjah satu tetapi badanku kecil dan kurus kering. Mungkin kerana aku dilahirkan pada hujung tahun dan belum pun menjangkau usia 7 tahun lagi maka aku sememangnya kelihatan seperti kanak kanak yang berusia 5 tahun.
Pada masa aku berada di lingkungan usia itu, beraya di kampung Opah sebelah ibu adalah sangat sangat menyeronokkan. Rumah Opah yang kami semua panggil 'Mak Didik' itu sangat hampir dengan sungai Perak. Rumah Opah juga tiada bekalan letrik dan air paip bersih. Rumah Opah juga tiada peralatan canggih atau juga perabut yang mahal mahal. Seingat ingat aku, rumah Opah cukup lapang dan hanya beralaskan tikar mengkuang besar yang dibuat sendiri untuk menyambut dan menerima cucu cucunya serta anak anaknya yang seramai 10 orang itu beraya di kampung.
Aku tak pernah ingat akan adanya langsir atau kerusi meja baru di rumah Opahku. Mungkin hiasan dan perabut itu tidak bermakna apa apa buat Opahku. Entahlah...baginya yang penting adalah kepulangan anak anak dan cucu cucunya.
Selalunya jika menaiki bas, kami terpaksa berjalan kaki jauh dari pekan Teluk Sena kerana bas hanya mengakhiri perjalanannya sehingga ke penghujung jalan yang berturap tar sahaja. Ianya agak meletihkan terutamanya jika sampai di pekan Teluk Sena itu sewaktu matahari terik tambahan pula sekiranya pada mereka yang pulang dua atau sehari sebelum hari raya dan masih berpuasa. Jalan dari pekan Teluk Sena sewaktu itu hanya berkerikil sahaja dan tidak berturap.
Kalau tidak mahu berjalan kaki jauh, jalan pintas terbaik ialah dengan menaiki sampan tambang menyeberangi sungai Perak. Adakalanya yang menjadi pengayuh sampan itu ialah Pak Yang aku sendiri jadi kami merasa lebih selamat dan tidak perlu membayar tambang. Kami hanya perlu berjalan kaki dari tempat tambatan menyusuri denai denai kecil yang redup sekira kira setengah kilometer sahaja jaraknya dari rumah Opahku.
Perjalanan dari pekan Batu Gajah yang juga terletak di dalam negeri Perak itu terasa amat jauh sewaktu itu.
Memikirkan kemudahan jalanraya yang ada sekarang, alangkah bertuahnya anak anak dan cucu cucu serta cicit cicit nendaku sekiranya hendak pulang beraya ke rumah Opah. Tapi itu semua hanya secebis kenangan. Rumah dan tanah Opah pun sudah menjadi milik kekandaku yang dibelinya dari anak anak Opah. Opahku juga sudah lama meninggalkan alam ini kembali menemui Penciptanya. Datukku juga sudah lama tiada meninggalkan beberapa orang anak anak yatim.
Namun kenangan perjalanan ke kampung masih segar dan terpahat dalam kotak fikiranku. Kenangan bermain sekitar rumah Opah serta melihat Opah mengacau dodol dirasakan seolah baru kelmarin aku menjadi anak anak. Hawa sejuk dari pokok yang merimbun, bunyi serangga riang riang dari pokok hutan, bau asap dari dapur kayu Opah dirasakan seolah olah baru semalam aku berada di kampungku.
Opah or lebih mesra dipanggil 'Mak Didik', semoga sejahtera di alam sana..
Al-fatihah..
.
.
.
dan aku sangat merindui suasana itu.
sekian
No comments:
Post a Comment