Monday, May 08, 2006

sayangkan anak, tangan tangankan..

adakala kita terleka, menyayangi anak berlebih lebihan sehingga anak merasa dirinya terlalu besar hingga tidak boleh ditegur lagi takkala melakukan kesalahan..
macam cerita P.ramlee.." anakku sazali"..sazali membesar dalam keadaan ayahnya mempercayai penuh tanpa banyak soal bicara ..salahlakunya kian menjadi jadi hingga ayah tidak mampu lagi mengawal anak..umpama api dalam sekam yang semarak menjadi lawan bukan lagi kawan...
dari itu anak seharusnya dididik bagai bermain layang layang, adakalanya dilepaskan perlahan lahan dan adakalanya ditarik juga perlahan lahan..biar layang layang luncur diudara namun tali nya masih dipegang tidak terputus..

adakalanya kita tangankan anak kerana kita sayangkan mereka..dan tidak terlintas untuk membenci mereka kerana ditangan tangan seadanya kerana mereka adalah amanah kita...

Thursday, April 20, 2006

sebuah rumah


sebuah rumah itu
di sebalik bukit sana
ada suara suara riang
berkumandang ke angkasa
sebuah rumah itu
di sebalik bukit
ada anak anak ceria
di samping ayah bonda
sebuah rumah itu
di sebalik bukit situ
permulaan nyawa nyawa
membesar satu satu
di sana tempat aku
juga saudaraku
kenali isi hati
kenali budi bicara
rumah kecil itu
membesar mengikut waktu
mengukir seribu rahsia
penyaksi hidup manusia
kini
sebuah rumah itu
di sebalik bukit situ
menyimpan rasa pilu
ditinggalkan satu satu
kecerian berganti kesunyian
kegembiraan diganti kesedihan
apakah kesudahan
wajah
sebuah rumah
di sebalik bukit indah

Wednesday, April 12, 2006

Riak air..


Yani melangkah longlai membawa kain basahan yang telah lusuh menuju ke anak sungai di belakang rumahnya. Hatinya membengkak kerana dimarahi ibunya. Dia berwajah muram. Matanya masih sembab kesan daripada menangis sepanjang hari.

Jam telah menunjukkan pukul 3 petang.Tapi Yani masih lagi duduk di pangkin yang telah dibina ayahnya di tepi anak sungai. Kakinya berjuntai ke bawah, mengkais kais air.

Air di anak sungai tepi bukit itu sungguh jernih dan dingin sekali. Kelihatan anak anak ikan yang berenang renang serta bermain main di dasarnya. Suasana damai di tepi bukit itu menenangkan Yani.Angin petang berhembus lembut pipi Yani yang kemerah merahan akibat ditampar ibunya.

Perlahan lahan titisan airmata Yani yang jernih bak mutiara jatuh di air tenang menjadi riak riak kecil. Sungguh pedih dan pilu hatinya kerana dimarahi ibu hanya kesalahan yang kecil begitu.

Yani hanyalah seorang anak gadis kecil yang masih hijau dengan kehidupan. Apakah kehidupan yang bakal dihadapinya sesejuk embun dedaun, atau sedingin riak riak air di kali atau juga seganas badai di pantai tika ribut melanda..

Sunday, April 09, 2006

dalam redupan mata ibu


Tanggal 9hb januari,
tarikh duka buat ibu
tarikh keramat yang meragut separuh jiwamu, ibuku..

Ayah pergi meninggalkan kita..
juga dunia yang fana..
meninggalkan dikau
kini bergelar balu..

begitu sementara dunia ini, ibu!
kita hanya kembara yang merempat di atas dunia
ke sana ke mari mengusung amanah

bukan perlu kita melobi segala harta mewah
tak payah kita menghambat nafsu serakah
kerana...
kita hanya sekadar menghirup bayu yang sebentar
itupun bukan hak milik kita

bukan bukan bukan..

jadi ibu..
biarpun dalam kedukaan ini
biarpun dalam redup pandangan matamu
biarpun kesayuan menhiris kalbumu

namun satu yang pasti
akan ketemu suatu masa nanti
antara kau dan ayah
di alam yang lebih lama
alam yang abadi..

kupohon pada ilahi
agar kau dan ayah disatukan kembali
dalam ikatan yang lebih utuh dan kukuh
umpama dua sejoli
disyurga Allah

bak seorang bidadari menanti suami.
amiinn...

Saturday, April 08, 2006

Sabtu ini.

Hari ini Sabtu...
Di pagi hari lagi suamiku sudah bangun dan keluar membawa anakku,Zainab keluar berjalan jalan menikmati keindahan pagi ciptaan Allah. Namun aku masih berlengkar kesejukan di dalam selimut bersama Muhammad,sikecil montelku.

Kesejukan pagi membuat aku bermalas malasan apatah lagi Muhammad turut dahagakan susu ibunya.Aku melelapkan mata sambil menyusukan anakku...ahh indahnya pagi Sabtu.
Aku tidak perlu bergegas ke sana ke mari.Tergopoh gapah..menyelesaikan kerja yang tidak pernah habis..

Jam 9:20 pagi, aku tersedar..ohh sudah tinggi mentari pagi.Teringat aku pesanan suamiku yang kawannya sekeluarga ingin menziarahi Muhammad.

Bergegas ku bangun...
Kudapati suamiku sudah pun membelikan aku sarapan pagi, roti canai..kegemaran anak anakku. Dia..entah ke mana.Kutanya Zainab yang sedang menonton TV ke mana ayahnya pergi.

"Abah bawa kereta...nak cuci" jawapan Zainab melegakan aku.
"Dah makan?" kutanya Zainab.
"Dah..makan kat kedai."

Begitulah suamiku.Habis saja berjalan jalan lantas terus ke kedai menikmati teh tarik dan roti canai kegemarannya.
Mungkin sudah memahami isterinya yang keletihan, memerlukan kenikmatan pagi Sabtu untuk melelapkan mata sekadar mungkin.

"Abah ada pesan apa apa tak?"
"Abah suruh kita orang tolong Ummi kemas rumah..kawan abah nak datang"
"Dah...kenapa tak kemas lagi?Asyik tengok TV jer"
"Takkan Zainab nak kemas sorang sorang..."

Tak apa kata hatiku..Bila perutku sudah kenyang nanti akan aku ajak anak anak yang lain bergotong royong mengemas rumah.Beginilah kebiasaannya.Pagi Sabtu adalah "the GOTONG ROYONG DAY".

Aku menyuruh anak anakku yang lain mandi, makan dan menolong melipat pakaian yang bertimbunan.Ahhh..sudah lumrah baju yang tak berlipat ada sentiasa.Dengan ahli keluarga yang begini ramai, mana mungkin dapat kuselesaikan segala urusan sendirian. Pakaian yang dibasuh sentiasa menunggu untuk dilipat, dikemas,digosok disusun rapi.

Selesai hal pakaian, terasa untuk menyapu sawang sawang yang menyakitkan pandangan mataku.Hampir 7 bulan sawang di siling rumah tidak disapu.Mana tidaknya..dari aku mengandung sehinggalah setelah bersalin hampir dua bulan ini, aku tidak berupaya untuk mencuci rumah sebaik mungkin seperti hari hari biasa.

Bila saja kutahu aku mengandungkan anak lelaki, aku begitu berhati hati untuk tidak membuat kerja kerja berat.Tambahan pula sebelumnya aku baru keguguran.

Biarlah rumah berhabuk sedikit, biarlah sawang menjuntai ke bawah..sekadar adanyalah yang dapat dibersihkan...

Setelah penat menyapu dan mop lantai, jam telah menunjukkan pukul 12:50 tengahari.Ahhh..sepagi aku mengemas rumah.Ke mana perginya suamiku?
Takkan kereta terlalu banyak hingga lambat gilirannya.Aku menelefon suamiku.Rupanya dia di kedai kereta..ingin memasang shade..aahh biarkan saja.Memang satu keperluan..tiada apa yang perlu kugusarkan. Cuma keletihan menyebabkan perutku mula menyanyikan lagu kelaparan.Namun satu masakan pun belumku sediakan.

Idea datang..beli lauk di kedai.Masak aje nasi..Kepenatan, kelaparan, aku kekedai, mencari barangan harian dan juga singgah direstoren biasa tempat aku membeli lauk pauk kiranya perlu.
........................begitulah Sabtu ini ( bersambung kiranya aku mempunyai masa ...begitu cemburu masa padaku)








Thursday, March 30, 2006

antara ahmad dan muhammad

Ayahku namanya Ahmad.
Anakku namanya Muhammad.

Dua insan yang berbeza.
Dua insan yang tak serupa.

tapi ada ikatan yang utuh.
pertalian darah yang kukuh.

namun malangnya tak ketemu.
untuk ketawa bersama.
untuk mengenali hati budi sesama.

ayahku,
kau pergi tanggal 9hb januari 2006.
pada umat Muhammad wukuf di arafah
hari yang mulia.

dan

anakku,
kau hadir tanggal 15 hb Feb 2006
tanpa merasa melihat raut wajah datukmu

namun darah yang mengalir dalam dirimu, anakku
mewarisi titisan darah ayah..
mengisi kegembiraan di atas kesedihan ibu

anakku,
biarpun wajah datuk tidak sempat ditatap
biarpun suara cerinya tidal sempat kau dengar
pastinya
ada peninggalan warisan yang bersambung..

Wednesday, March 29, 2006

Belajar buat blog saja

Aku masih belajar. Belajar adalah satu perkara penting dalam hidup ini. Biarpun usiaku sudah beransur ansur meningkat ke penghujung tigapuluhan ini tak salah kiranya aku belajar ilmu IT ini.
Bukan kah belajar itu tak mengenal usia.