Tuesday, November 29, 2011

Layakkah aku menjadi tetamuNYA?

Assalamualaikum,

Hati yang sayu sering menemani diriku kerana mengenangkan diri yang tak punya apa apa selain anak anak yang dilahirkan tahun demi tahun.

Wang simpananku tidak pernah ada.

Semua perbelanjaan sara diriku, anak anak dan keluarga datang dari gaji bulanan suami.
Wang untuk perbelanjaan ke sana ke mari semasa bercuti juga datang dari poket suamiku.

" Saya teringin nak ke Mekah..tak kira samada untuk menunaikan haji atau umrah" aku suarakan hasrat hati suatu hari pada suami.

Airmataku selalu mengalir ketika menonton siaran langsung yang dipancarkan dari Masjidil Haram tak kira samada ketika solat sunnat tarawih atau solat sunnat hari raya apatah lagi siaran langsung dari Arafah yang menayangkan jemaah haji di sana.

" Duit kita cukup cukup jer untuk perbelanjaan hari hari " itulah jawapan yang sering diberikan oleh suamiku.

Dan ianya seolah olah satu jawapan muktamad dan aku akan diam menyimpan hasrat yang tidak pernah terpadam.
.
.
.
.
.
.
Ini hanyalah satu entri permulaan bagi aku memulakan penulisan mengenai perjalananku dalam menyahut seruanNYA.

Penulisan adakalanya tersekat dek kerana sayunya hati untuk meluahkan apa yang tersirat dalam hati lantas apa yang ditulis akan di padamkan.
Kalimah hati adakalanya tidak selari dengan bait bait yang dirangkaikan dan ianya kelihatan pincang dan kaku kerana tiada roh di situ.

Aku ingin menulis dengan jiwa dan bukan sekadar memaparkan penulisan yang hambar dan tidak bernyawa..jadi fahamilah kawan kiranya penulisanku adakalanya kelihatan seperti orang yang meracau dan merayau..berdebu dan berhabuk atau mungkin hapak dan haprak seakan akan menggambarkan keadaan mereka yang berjalan kaki tak berkasut dari Makkah ke Arafah..
.
.
.
kerana perjalanan mencari keredhaanNya bukanlah seperti berjalan dan bersiar, melancong atau melencung di Kota New York, London, Paris atau Chicago..

sekian

Wednesday, November 23, 2011

Satu perjalanan..


Assalamualaikum,

Perjalanan menuju bumi barokah cukup mengharukan.
Ianya bukan sekadar perayauan fizikal tubuh badan tetapi yang lebih penting perjalanan rohani dan jiwa yang mengharapkan keredhoan Ilahi.
Persediaan untuk ke sana bukan sekadar persediaan kesihatan diri dan keperluan fizikal tubuh badan tetapi jua pengisian rohani agar jiwa terisi dan tidak kosong.

Walaupun secara mata kasar bekalan untuk fizikal tubuh badan penting tetapi kiranya roh dan jiwa tidak mempunyai bekalan yang betul betul mantap maka akan rugilah diri yang mengharap keredhoan Ilahi.

Terlalu banyak konklusi serta rumusan yang boleh aku simpulkan dari perjalanan fizikal dan rohaniku ini. Cuma samada aku berupaya menzahirkannya dalam penulisan, aku pun tidak tahu. Aku tahu aku perlu berkongsi pengalaman dan rumusan rumusan itu tapi aku mungkin tidak berupaya menyatakan apa yang bermain di kepalaku. Mungkin aku takut kalau kalau rumusan itu disalahertikan lantas menyesatkan yang lain. Atau mungkin aku takut ianya kelihatan terlalu berat untuk dipikul oleh individu lain. Tapi yang pasti perjalanan ku itu sebenarnya satu jihad bagiku...bagi tubuh badanku secara fizikalnya serta juga perjalanan yang indah buat rohaniku.

Dan aku kira tidak salah sekiranya aku paparkan di sini satu lakaran sajak yang dapat aku ukirkan semasa di sana :-

" Ku titipkan rasa rindu di langit luas bebas tak berawan..
Kerdipan bintang yang menemani rasa sayu yang menggigit jiwa..
Angin sejuk dari bukit menyapa lembah,
apakah mungkin dapat kufahami perkhabaran dan berita..

Di sisiku bisikan bacaan quddus memuji Ilahi..
Aku di sini duduk berfikir kenapa diri ini dicipta
dan jalan mana yang dapat kususuri nanti..
Kanan atau kiri..
maju dengan masa yang tidak mengenal erti undur..

Penciptaan manusia yang pelbagai rupa bentuk, warna dan bahasa..
Di jemput menjadi tetamuNya

Dhuyufurrahman...satu jemputan yang tiada tandingan..

Dan mereka menyahut jemputan itu
Seorang demi seorang
dan datang berbondong bondong
dan bergerombolan

Oh..janjiNya sangat benar..
"Labbaikallahumm malabaik..labbaikala syarikala kala baik.." sahut mereka.
Menepati waktu dan tempat dan ....
satu peristiwa besar tercipta!
Menzahirkan apa yang termaktub dalam KalamNya!

sekian

Tuesday, November 22, 2011

alhamdulillah..syukur



assalam,

alhamdulillah..
kembara kami dalam menyahut seruanNYA telah terlaksana.
telah kembali menjejak bumi Malaysia pada jam 1.30 pagi tanggal 19/11/2011
syukur..

moga ibadah kami di bumi penuh Berkah diterima Allah SWT

sekian